SEJARAH INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU DAN
RAJA BERPERLEMBAGAAN DI MALAYSIA
1. MUKADIMAH
Institusi Raja adalah satu institusi
yang sangat lama yang telah berkembang dan terpakai di Malaysia tanpa ada
gangguan untuk menghapuskan secara formal atau tidak formal. Institusi Raja juga
bukan hanya merupakan satu institusi politik dan pentadbiran tetapi juga satu
Institusi sosio-budaya masyarakat yang telah berfungsi begitu padu dan kukuh
dalam masyarakat tempatan di Kepulauan Melayu di Asia Tenggara ini. Ia telah
didokong oleh rakyat jelata disepanjang kurun sehingga kini, terutama di
Malaysia. Ia adalah satu legasi yang menjadi tonggak masyarakat Malaysia yang
dikekalkan sebagai satu warisan dan juga sebagai satu institusi kepimpinan
dalam sistem pentadbiran tamaddun bangsa
2.
KONSEP KERAJAAN KEPULAUAN MELAYU.
3. Antara contoh Kerajaan Melayu di
Kepulauan Melayu yang menggunakan Institusi Raja sebagai tunggaknya ialah:
a.
Sri
Vijaya
b.
Majapahit
c.
Mataram
d.
Singgahsari
e.
Banjarmasin
f.
Pontianak
g.
Makasar
h.
Ternate
i.
Sambas
j.
Sulu
k.
Mindanao
l.
Patani
m.
Brunei
n.
Melaka
o.
Dll
3.1. Hikayat-hikayat Melayu telah menjadi
bukti yang jelas tentang kewujudan negeri-negeri dan kerajaan-kerajaan di
Kepulauan Melayu. Didalam hikayat itu diceritakan tentang asal usul sesebuah
kerajaan dan raja-raja yang telah memainkan peranan yang penting dalam
membangun dan memajukan negeri dan kerajaannya sehingga dikenali diperingkat
tempatan dan antarabangsa. Didalam hikayat itu juga dimasukkan tentang sistem
perdagangan, hubungan antarabangsa, adat istiadat diraja, kegiatan agama Islam
dan juga tentang taat setia rakyat yang tidak berbelah bahagi terhadap raja dan
negerinya.
3.2. Antara hikayat itu ialah Hikayat
Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Patani, Salasiah Brunei, Sejarah
Melayu, Misa Melayu dan banyak lagi. Hikayat-hikayat ini banyak terdapat
disimpan di Britian, Netherland dan Amerika.
3.3. Institusi Raja adalah nadi dan nyawa
kepada sistem pentadbiran politik, ekonomi dan sosio-ekonomi Kerajaan Melayu.
Pada teori dan prinsipnya sesebuah kerajaan di Kepulauan Melayu tidak boleh
diwujudkan jika tidak ada seorang pemimpin yang dipanggil Raja untuk
mengetuainya. Apabila ada seorang Raja sebagai ketuanya, maka barulah ia
dinamakan sebuah kerajaan. Perkataan kerajaan
itu menggunakan kata dasar Raja yang
menunjukkan Raja adalah tonggak atau asas sesebuah kerajaan.
3.4. Inilah asas kemunculan sesebuah negeri
Melayu. Sebuah negeri dan kerajaan pula dikenal sebagai negeri dan jajahan takluknya
Ini bermakna dalam sesebuah pemerintahan kerajaan Melayu terdapat pembahagian
pentadbiran yang jelas. Raja yang bergelar Sultan akan memegang sesebuah
kerajaan sebagai pusat pentadbiran dan istananya. Manakala kawasan-kawasan lain
akan dipegang oleh pembesar-pembesar yang dilantik oleh Sultan.
Pembesar-pembesar ini selalunya daripada keturunan diraja samada adik-beradik, sepupu
atau mereka yang ada pertalian darah dengan kerabat diraja. Ada juga didalam kes-kes
terpencil seorang rakyat yang kaya-raya yang berkahwin dengan kerabat diraja
akan dilantik sebagai pembesar daerah. Dengan cara ini kesetiaan pembesar
kepada Raja yang memerintah dapat dikawal.
3.
INSTITUSI RAJA-RAJA DI MALAYSIA
3.1. Di Malaysia, kerjaan-kerajaan Melayu
telah ditubuhkan seawal kurun 1 Masehi. Walaupun tidak ada penulisan yang jelas
mengenainya tetapi beberapa buah negeri dan kerajaan telah wujud melalui cerita
rakyat atau sejarah lisan. Antara kerajaan-kerajaan itu ialah Bruas, Gangga
Negara, kerajaan Puteri Saadong dan kerajaan Kedah Tua. Satu lain-lain lagi
terdapat juga kerajaan yang mempunyai rekod pencapaiannya seperti kerajaan
Kesultanan Melaka dengan berdasarkan rekod daripada Cina, Portugis, Belanda dan
tempatan, ternyata kerajaan Kesultanan Melaka atau Empayar Melaka merupakan
kerajaan tempatan yang paling kompleks pencapaiannya sehingga ia boleh
dinamakan sebagai sebuah tamadun.
3.2. Sejarah
Melayu atau Sulalatus Salatin adalah sumber rujukan
yang penting untuk mencari asal usul Raja-Raja di Semenanjung Tanah Melayu.
Mengikut Sejarah Melayu yang mempunyai 29 versi, keturunan Raja Melayu
dikatakan daripada Sultan Iskandar Zulkarnain, raja yang tersohor diseluruh
dunia seperti yang tercatit dalam Al-Quran. Disegi kepercayaannya pula,
raja-raja dikatakan dari Bukit Seguntang Mahameru yang terletak di Palembang,
Sumatera.
1. Mengikut
teks itu, seorang anak Raja telah muncul daripada luahan lembu; ketampanannya
telah menyebabkan cahaya yang bersinar-sinar sehingga padi menjadi emas dan
daunnya menjadi suasa. Kehebatan ini menunjukkan kehebatan dan kesempurnaan
anak raja tersebut. Apa yang menarik disini ialah dalam kedua-dua perceritaan
itu, asalnya Raja dikaitkan dengan agama atau sistem kepercayaan masyarakat.
Ini menunjukkan seolah-olah Raja itu adalah wakil Tuhan yang layak dan sesuai
dijadikan pemimpin kepada masyarakat umum. Dalam erti kata lain bagi sesebuah
masyarakat mempunyai seorang Raja sebagai pemimpin, kedudukannya dan
kewibawaannya patutlah dikaitkan dengan kedudukan yang amat istimewa dan
direstui oleh agamanya.
3.3. Perkara kedua yang menarik ialah
tentang kontrak sosial yang telah diadakan diantara rakyat dan raja. Dalam teks
sejarah Melayu ini dikatakan Sang Sapurba telah membuat satu perjanjian dengan
pemimpin masyarakat tempatan demi untuk memulakan satu kerajaan dan negeri yang
meletakan Raja sebagai ketua negerinya. Dengan perjanjian sosio-budaya itu,
Sang Sapurba telah diterima oleh rakyat yang diketuai oleh Demang Lebar Daun,
ketua penghulu daerahnya, untuk menjadi raja mereka. Dalam kontrak ini
dikatakan ‘Raja Zalim Raja Disanggah, Raja Adil Raja Disembah’.
3.4. Ini bermakna bahawa:-
i) Raja
dan rakyat adalah saling kait mengait.Tanpa raja rakyat tidak akan kemananya
dan tanpa rakyat pula raja tidak akan menjadi ketuanya.
ii)
Hubungan
Raja dan rakyat adalah diatas dasar pemuafakatan. Kedua-duanya saling
hormat-menghormati dengan kedudukan dan peranan masing-masing. Setiap pihak
sepatutnya menjalankan bidang kuasa yang telah digariskan supaya Raja dan
rakyat akan saling bergantungan bagi menentukan survival kerajaan dan negeri
itu.
iii) Kedudukan Raja adalah diatas rakyat
kerana Raja adalah tunggak kerajaan dan negeri. Rakyat tidak boleh membina
sebuah negeri tanpa ada kerajaan yang diketuai oleh raja yang didaulatkan oleh
rakyat. Rakyat mengiktiraf kedaulatan raja yang menjadi pemerintahnya dengan
kemuliaan-kemuliaan khusus kepada Raja, ini termasuklah dinasti raja, adat
istiadat diraja, bahasa diraja, perlatan diraja, singgahsana dan istana diraja.
4.
KESULTANAN MELAKA
4.1. Kesultanan Melaka telah di tubuhkan
pada 1400 atau dikatakan lebih awal oleh sesetengah sumber; adalah kerajaan
Melayu yang telah meninggalkan legasi yang besar dan penting dalam
kerajaan-kerajaan selepasnya sehingga ke hari ini.
4.2.Sebagai sebuah kerajaan yang besar,
Melaka telah mempunyai sistem pentadbiran, sistem politik, sistem ekonomi,
sistem sosial, bahasa, sistem perundangan dan agama Islam sebagai cara hidup
dan perundangan masyarakat Melaka.
4.3. Dalam sistem kerajaan Melaka dan
kerajaan-kerajaan Melayu selepasnya, pemerintahan raja dikenali sebagai Pemerintahan Raja Mutlak. Konsep ini
menunjukkan pemerintahan negeri dan jajahan takluk. Tertakluk dalam tangan Baginda
sepenuhnya. Ini kerana Raja atau Sultan adalah ketua negeri atau kesultanan
itu. Raja atau Sultan merupakan kemuncak kepada kuasa pentadbiran negeri
Melayu. Oleh itu dalam kerajaan Melayu sentiasa digambarkan dan dikatakan
‘Titah Raja adalah Undang-Undang yang mesti dipatuhi dan dijalankan tanpa boleh
diingkari’. Misalnya, dalam peristiwa Sultan Melaka menitahkan supaya Hang Tuah
dibunuh, pihak Bendahara melaksanakan tugas itu tanpa mempersoalkan keputusan
Sultan. Walaupun didalam hati Bendahara tahu Hang Tuah difitnah. Apa yang
dilakukannya ialah menyembunyikan Hang Tuah di Ulu Melaka. Namun apabila Hang
Jebat mengamuk di istana, Bendahara mengangkat sembah untuk membawa pulang Hang
Tuah setelah Sultan meyebut kebaikan Hang Tuah yang sentiasa setia kepada
Baginda. Sultan melihat Bendahara seorang yang bijak dalam hal ini.
4.4.Tetapi dalam peristiwa lain pula,
Sultan Mahmud Shah telah menitahkan Bendahara Tun Mutahir dibunuh bersama-sama
dengan 39 orang anggota keluarganya yang lain diatas tuduhan menderhaka. Dato’
Bendahara itu difitnah oleh Laksamana Khoja Hassan dan Raja Mendalir dengan
mengatakan Dato’ Bendahara sedang menunjukkan kekayaannya melebihi daripada
Sultan iaitu dengan menempa cerek emas untuk kegunaan hariannya. Dato’
Bendahara jua dituduh membelakangkan Sultan apabila mengahwinkan puterinya yang
cantik jelita yang bernama Tun Fatimah dengan sepupunya Tun Ali. Diatas dua
alasan ini, Sultan telah menitahkan Dato’ Bentara dengan membawa keris diraja
kerumah Bendahara. Dato’ Bendahara, yang arif dengan adat istiadat diraja,
menurut perintah Sultan tanpa bantahan. Dato’ Bendahara menggunakan konsep
‘Pantang anak Melayu Menderhaka’. Ternyata perintah Sultan tidak boleh
diingkar. Inilah bidang kuasa Sultan ataupun Raja dalam konsep kerajaan Melayu
dahulu.
4.5. Sebagai pemerintah yang tertinggi,
Raja atau Sultan dibalut dengan konsep Daulat. Dalam konsep ini Raja bukan
sahaja dilihat mempunyai kuasa yang mutlak keatas rakyat dan negerinya, tetapi
juga insitutsi itu dilengkapkan dengan perkara-perkara lain yang dianggap dan
dijadikan sangat istimewa dan hanya boleh dipakai atau dikaitkan dengan
seseorang Raja yang memerintah kerajaan tersebut. Antaranya ialah kesetiaan
rakyat yang tidak berbelah bagi, istana yang terletak diatas bukit, bahasa
diraja, pakaian diraja, peralatan diraja, adat istiadat diraja dan cara
kehidupan yang berbeza dengan rakyat atau pembesar-pembesarnya. Malah disegi
kelahiran konsep Raja itu juga dikaitkan dengan kedudukannya sebagai wakil
Tuhan atau khalifah bagi rakyatnya. Dengan itu kedudukannya sangat istimewa dan
lebih mulia daripada manusia lain yang menjadi rakyatnya. Misalnya, seperti
yang diceritakan oleh Sejarah Melayu, kitab klasik tamadun melayu yang disusun
oleh Tun Sri Lanang, dikatakan Sultan Melaka telah bermimpi pada satu malam
bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah datang dan mengajarnya mengucapkan dua
kalimah syahadat dan menyunatkan Baginda. Baginda diminta untuk menjemput
sekumpulan orang Islam yang sedang menunaikan sembahyang Zohor dipantai Melaka
untuk datang keistana bagi mengajar Baginda tentang agama Islam. Penceritaan
ini menunjukkan bahawa cara Sultan Melaka memeluk agama Islam adalah sangat
istimewa dan sangat mulia; Nabi Muhammad s.a.w. sendiri yang mengislamkan
Baginda. Ini semata-mata untuk membezakan kedudukan Raja Melaka dengan rakyat
biasa. Ini bermakna konsep kedaulatan Raja adalah satu manifestasi kedudukan
dan kuasa yang teristimewa sehingga ia dihormati dan diyakini oleh rakyat
dibawah kepimpinannya. Apabila seseorang
rakyat itu mengangkat sembah ‘Ampun Tuanku’ bermulalah pengiktirafan terhadap
kedaulatan seseorang Raja atau Sultan yang memerintah kerajaannya.
4.6. Secara rajahnya susunlapis pentadbiran
Kesultanan Melaka dan kerajaan Melayu yang lain boleh diturunkan seperti ini:
Sultan
Tengku Mahkota / Raja Muda
Pembesar-pembesar Istana
Pembesar-pembesar
Jajahan / Daerah
Penghulu-penghulu
bagi Mukim
Ketua-ketua Kampung / Tok Batin
Rakyat Jelata (merdeka atau hamba
sahaya)
4.7. Sebagai ketua negeri, kedudukan Sultan
adalah yang tertinggi sekali. Baginda adalah payung negeri dan pemerintah yang
merupakan pembuat undang-undang dan peraturan negerinya. Baginda juga adalah
kuasa esekutif yang diwakilkan kepada para pembesarnya. Sesuai dengan itu,
kuasanya tidak terbatas; baginda berkuasa dalam semua perkara termasuk
pentadbiran, kehakiman, kewangan, agama Islam, kebajikan rakyat, keselamatan
negeri, perhubungan luar dan perluasan kerajaan atau empayarnya. Namun, kuasa
itu diwakilkan kepada pembesar istana, jajahan, mukim atau kampong untuk
dilaksanakan; mereka hanya melaporkannya kepada Baginda hasil kerja mengikut
saluran, peringkat dan bidang kerja dan kuasa masing-masing. Pihak tertinggi
yang melaporkan kepada Sultan tentulah pembesar-pembesar utama di Balairong
Seri semasa Sultan bersemayam. Disini jugalah Sultan menerima kunjungan pihak
luar atau pedagang-pedagang asing untuk berdagang atau membuat hubungan politik
dan diplomasi.
Golongan
pembesar adalah kelas kedua dalam sistem pentadbiran Melaka. Mereka dilantik oleh
Sultan daripada adik beradiknya atau kaum kerabatnya yang dekat dan jauh. Hak
Sultan melantik para pembesar adalah satu bidang kuasanya yang amat jelas dalam
Sejarah Melayu. Perlantikan ini bertujuan untuk melicinkan pentadbirannya;
misalnya Sultan Muzaffar Shah telah melantik bapa saudaranya Tun Ali sebagai
Bendahara Melaka. Baginda juga menceraikan Tun Kudu, pemaisurinya untuk
dinikahkan dengan Tun Ali apabila Tun Ali meletakkan itu sebagai syarat untuk
dia berundur daripada jawatan Bendahara. Jawatan itu kemudian diserahkan kepada
Tun Perak yang bergelar Bendahara Paduka Raja, adinda Tun Kudu.
4.8. Sebagai payung negeri yang mempunyai
kuasa legislatif dan esekutif, hubungan luar adalah satu lagi bidang kuasa
Sultan yang memerintah. Dalam catitan Sejarah
Melayu, hal ini sangat ketara. Misalnya, hubungan perdagangan dengan
pedagang-pedagang luar telah dilakukan dengan begitu bijak sekali. Kerajaan
Melaka telah mempunyai satu undang-undang untuk menjalankan perdagangan luar
Negara yang merupakan salah satu sebab mengapa Melaka terkenal sebagai sebuah
empayar. Undang-undang itu yang dinamakan Undang-undang
Laut Melaka telah mula digunakan dimasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah
iaitu pada tahun 1488 sehingga 1511.
Undang-undang Laut Melaka adalah mengenai peraturan-peraturan
yang berkaitan dengan pelabuhan, pelayaran dan perkapalan yang seragam bagi
semua pedagang yang berniaga dan berdagang di Melaka. Ia digunakan untuk semua
kapal, jong, wangkang dan perahu yang singgah dan berdagang di Melaka. Ia
adalah bertujuan untuk menyeragamkan semua undang-undang perkapalan dan
perniagaan yang dipakai sebelum itu. Adanya undang-undang ini menunjukkan telah
ada satu sistem perundangan yang menunjukkan perdagangan Melaka yang hebat.
Dimasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah ini dikatakan terdapat 1,000 orang saudagar
Gujeiat, 4,000 orang saudagar Arab, Parsi, Benggali dan Jawa berdagang di
Melaka. Ini adalah kemuncak kepada keunggulan Melaka sebagai pusat perdagangan
antarabangsa.
4.9 Hubungan Diplomatik juga terletak
dalam tangan Raja yang memerintah. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam
kerajaan Melaka. Misalnya dalam pemerintahan Sultan Megat Iskandar Shah
(-1423), baginda telah membuat hubungan diplomatik dengan Cina bagi mengelakkan
serangan Siam ke atasa Melaka. Baginda telah menyambut baik kedatangan Laksamana
Yin Ching pada 1403 dan Laksamana Cheng Ho pada 1409. Pada 1411 baginda dan
para pembesar telah melawat Cina bagi menjalin hubungan diplomatik. Pada 1419
sekali lagi Baginda melawatnya untuk mendapatkan perlindungan Dinasti Ming.
Dengan sokongan Cina itu, Melaka boleh menumpukan perhatian kepada perdagangan
antarabangsanya.
Perkahwinan
diraja juga merupakan satu cara hubungan diplomatik, perdagangan, perluasan
empayar dan perkembangan agama Islam dilakukan oleh Melaka. Misalnya Sultan
Mansur Shah (-1447), Sultan Melaka yang ke-6 (1456-1477) telah berkahwin dengan
Puteri Majapahit, Radin Galoh Cendera Kirana dalam usaha untuk mengelakkan
pertembungan kuasa besar di Pulau Jawa terutama di bawah Patih Gajah Mada.
Baginda juga dikatakan berkahwin dengan Hang Li Po untuk mengeratkan hubungan
dengan Cina. Sultan Mahmud Shah, pemerintah terakhir Melaka juga berkahwin
dengan Puteri Pahang, Tun Teja dan Puteri Onang Kening demi untuk meluaskan
empayar Melaka.
4.10 Kerajaan Melaka juga terkenal dengan
pusat perkembangan dan penyebaran agama Islam di Tanah Melayu melalui perdagangan,
penaklukan, persemendaan dan perkahwinan diraja. Misalnya Melaka di bawah
pemerintahan Sultan Mahmud Shah telah mengislamkan Sultan Muzaffar Shah I Kedah
dan Raja Patani, Chau Seri Bangsa. Baginda juga pernah berguru dengan seorang
ulama daripada Jeddah, Maulana Sadar Jahan dan memerintahkan pembesarnya untuk
ke Pasai mencari ulama yang boleh mentafsirkan tentang ilmu tasauf. Malah
sebelum baginda, pemerintah-pemerintah awal Melaka juga telah menjadikan Melaka
sebagai pusat pembelajaran ilmu Islam. Sultan Mansur Shah, telah membina sebuah
masjid yang besar dan indah untuk dijadikan pusat pengajian agama Islam.
Baginda sendiri berperanan menjaga hal ehwal pengurusan masjid tersebut.
Dibawah pemerintahan baginda juga, Pasai dijadikan tempat rujukan agama untuk
menghuraikan kitab agama. Seperti juga Sultan Alaudin. Riayat Shah, Sultan
Mansur Shah yang bersedia untuk menunaikan Haji ke Mekah tetapi telah jatuh gering.
Melaka
juga melihat Islam sebagai cara hidup dan sistem perundangan. Dalam Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka ternyata
ajaran-ajaran Islam tentang hidup berkeluarga, bermasyarakat bernegara telah
digunakan disamping adat istiadat atau kebiasaan masyarakat Melayu yang ada
sebelum itu.
4.11 Dengan semua adunan peranan-peranan
ini, Melaka menjadi sebuah empayar yang besar dan sangat terkenal bukan sahaja
di Timor tetapi juga didunia barat. Dikatakan semasa pemerintahan Sultan Mansur
Shah (1456-1477) Melaka telah dapat menguasai Selat Melaka sebagai jalan
perdagangan yang penting. Baginda juga mengahwinkan anak-anak pembesar dengan
saudagar-saudagar kaya dari Parsi dan Kalingga untuk menentukan Selat Melaka
menjadi pusat perdagangan empayar Melaka yang penting. Dengan itu, Melaka
menguasai negeri-negeri disepanjang Selat Melaka seperti Siak, Kampar, Inderagini,
Aru, Palembang, Rokau, Tungkal dan Jambi yang semuanya terletak di pantai timur
Sumatra. Manakala di Semenanjung Tanah Melayu pula, Melaka menguasai Pahang,
Kelantan, Sungai Hujong, Jeram, Langat, Buas, Patani dan Muar. Dikawasan
perairan pula, Melaka menguasai Riau-Lingga, Bentan dan Brunei.
5.
KERAJAAN MELAYU LAIN DI KEPULAUAN
MELAYU DAN SEMENANJUNG TANAH MELAYU
5.1. Melaka telah wujud selama 115 tahun
sebelum dijatuhkan oleh Portugis pada 1511. Namun kejatuhan Melaka bukan
bererti kejatuhan tamadun Melayu atau Institusi Raja-raja Melayu. Institusi
Raja Melayu dan sistem kerajaannya terus kekal di negeri-negeri yang telah menjadi
naungan atau pengaruh Melaka di seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Negeri-negeri
seperti Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Johor terus mengamalkan
sistem kerajaan Melayu Melaka berteraskan Institusi Raja sebagai ketuanya.
5.2. Johor Lama adalah kerajaan yang
diteruskan oleh Kesultanan Melaka. Sultan Mahmud Shah yang telah bergerak ke
Kampar Sumatra dan menjadi Sultan disana telah mangkat pada 1528. Anakanda
Baginda yang bernama Sultan Alauddin Riayat Shah II telah membuka kerajaan di
Johor Lama. Disitu Baginda telah cuba membuat strategi serangan ke atas
Portugis di Melaka. Namun Baginda juga terpaksa berdepan dengan kerajaan Acheh
dan Jambi yang juga berminat dengan Melaka. Perebutan kuasa ini menjadi
kerajaan-kerjaan Melayu yang berketuakan Raja-raja itu lemah dan tidak bersatu
menentang Portugis; akibatnya Melaka terus kekal ditangan Portugis. Belanda yang
juga merupakan kuasa barat berminat dengan Melaka dan kepulauan Jawa, Sumatra
dan lain-lain, dengan menakluk Melaka dan pulau tersebut terus berusaha
melemahkan kuasa dan kerajaan-kerajaan di Kepulauan Melayu. Belanda kemudian
bersama-sama British telah membahagikan pada 182 Kepulauan Melayu kepada dua
daerah pengaruh; di utara Singapura kepada British dan di selatan Singapura
daerah penguasaan Belanda.
5.3. Kemunculan Acheh sebagai satu kerajaan
Melayu yang kuat juga merupakan satu kesan positif kepada kejatuhan Melaka di
tangan Portugis. Dalam masa yang sama kerajaan lain seperti Perak dan Pahang
terus kekal kukuh sebagai satu kerajaan yang kuat.
5.4 Kerajaan Perak telah diasaskan oleh
Kesultanan Melaka apabila menghantar Sultan Muzaffar Shah (1528-1549) iaitu
anak Sultan Mahmud Shah. Bonda Baginda adalah Puteri Onang Kening, puteri
Kelantan. Baginda walaupun telah dinamakan sebagai Raja Muda tetapi jawatannya
itu telah diambil oleh anak Tun Fatimah; Sultan Muzaffar kemudian ditabalkan di
Perak. Baginda bersemayam di Telok Bakong 100 meter daripada Kuala Sungai
Perak; dengan itu persempadanan Perak telah ditandai oleh Baginda. Baginda juga
membawa banyak adat istiadat Melaka serta gelaran-gelaran pembesar dalam sistem
kerajaan Perak yang diasaskannya itu. Tempat-tempat penting dalam istana juga
diasaskan daripada Melaka. Kerajaan Perak menjadi kerajaan tinggi darjatnya
kerana Sultannya adalah keturunan Kesultanan Melaka yang terkenal. Malah, Sultan
Muzaffar meneruskan kehebatan Kesultanan Melaka dengan terus bekerjasama dengan
adidndanya Sultan Alauddin Riayat Shah Johor untuk menentang Portugis di Melaka
pada 1533.
5.5 Kesultanan Melayu Pahang juga telah
diasaskan oleh Kesultanan Melaka. Sultan Muhammad Shah, anak Sultan Mansur Shah
dengan isterinya yang bernama Puteri Wanang Sari atau Puteri Lela Wangsa.
Sultan Muhammad Shah telah ditabalkan di Pahang selepas peristiwa pembunuhan
Tun Besar anak Tun Perak Bendahara Paduka Raja Melaka yang tidak mahu
bertuankan anak raja itu di Melaka. Sultan Mansur Shah yang sangat menyayangi
Tun Perak telah menghantar anakandanya untuk ditabalkan di Pahang pada sekitar
1470 M. Baginda bersemayam di Tanjung Langgar dan telah berkahwin dengan Puteri
Kelantan yang bernama Puteri Mayang Mengindera. Perkahwinan Baginda dan
pemaisurinya itu telah dikurniakan tiga orang putera iaitu Raja Ahmad, Raja
Abdul Jamil dan Raja Mahmud. Baginda mangkat pada 1475 dan dimakamkan di
Kampung Dusun Pinang, Pahang Tuan, Pekan, Pahang.
5.6 Kesultanan Selangor bukanlah secara
langsung dalam lapisan pertama hubungannya dengan Kesultanan Melaka. Semasa
Melaka, Kelang merupakan kawasan takluk Melaka yang ditadbir oleh Pembesar
Melaka yang dilantik oleh Sultan Melaka seperti Raja Husein (Raja Ahmad atau
Raja Raden) sebelum Baginda memerintah Melaka sebagai Sultan Alauddin Riayat
Shah. Tun Perak iaitu Bendahara Paduka Raja juga pernah menjadi Penghulu Kelang
sebelum dilantik sebagai Bendahari dan Bendahara Melaka kemudiannya. Kesultanan
Selangor yang diasaskan oleh Raja Lumu yang bergelar Sultan Sallehuddin Shah
iaitu Sultan pertama Selangor (1756-1778) adalah Putera Daeng Celak, yang Di
Pertuan Muda Riau (1728-1745). Daeng Celak adalah salah seorang 5 bersaudara
yang membantu kerajaan Johor Lama yang diasaskan oleh kerajaan Melaka-Johor
melalui Sultan Alauddin Riayat Shah I, anak Sultan Mahmud Shah Melaka pada
1528. Kemangkatan Sultan Mahmud Mangkat Di Julang pada 1699 telah menyebabkan
kedatangan Raja Kechil Siak untuk merampas takhta daripada Bendahara Abdul
Jalil yang menjadi Sultan yang menggantikan Sultan Mahmud Mangkat Di Julang.
Perebutan kuasa antara kedua pihak ini telah menyebabkan campur tangan 5
beradik Daeng ke dalam politik Johor Lama. Raja Kechil telah dapat dikalahkan;
Sultan Sulaiman yang menaiki takhta bersetuju untuk memberi jawatan yang Di
Pertuan Muda kepada Daeng Celak. Pengaruh 5 bersaudara ini juga berlaku di
Kedah. Ini bermakna walaupun penubuhan kerajaan Selangor dibawah Raja Lumu
tidak berlaku di zaman Kesultanan Melaka tetapi di kurun ke-18, namun kerajaan
Johor Lama adalah penerusan Kesultanan Melaka yang berpusat di luar Melaka
seperti Kampar dan Johor Lama, kerajaan itu berpindah ke Riau-Lingga sebuah
lagi jajahan takluk Kesultanan Melaka. Pengaruh Yam Tuan Bugis kekal di situ
sehingga Belanda menguasainya pada kurun ke-19.
5.7. Dalam masa yang sama Pulau Singapura
telah ditadbir oleh Temenggong Abdul Rahman yang dilantik oleh Sultan
Riau-Lingga pada 1819. Sultan Husein Shah, kekanda kepada Sultan kemudian
menjadikan Singapura dan Johor sebagai kawasan pentadbirannya. Singapura di
jual kepada Rattes pada 1824 dan Johor kemudian terserah kepada Maharaja Abu
Bakar pada pertengahan kurun 19. Sultan Husein Shah kemudian berpindah ke
Melaka dan mangkat disana. Ini bermakna selepas jatuhnya Melaka asal pada 1511,
kerajaannya telah berpindah ke Johor Lama, Riau-Lingga dan akhirnya ke
Singapura dan Johor. Riau-Lingga kemudian diambil oleh Belanda. Penjualan
Singapura oleh Sultan Husein Shah pula telah menyebabkan Johor berpindah kepada
Maharaja Abu Bakar. Apa yang jelas juga sistem institusi Raja sebagai ketua
negeri kerajaan Melayu terpakai diseluruh rantau Kepulauan Melayu.
6.
PENDUDUKAN BRITISH DARI 19 – 20 DI
TANAH MELAYU
6.1. Pendudukan British di negeri-negeri
Melayu Beraja tidak pernah menghapuskan kerajaan Melayu dan kedaulatan Rajanya
sebagai ketua negeri. Perak yang merupakan negeri Melayu Beraja yang pertama
dibuat perjanjian iaitu Perjanjian Pangkor pada 1874, telah menjadi asas kepada
dasar British di negeri Melayu Beraja. British hanya mengambil alih
pemerintahan diperingkat kedua iaitu pembesar-pembesar istana dan negeri.
Tempat pembesar-pembesar ini digantikan oleh British dengan pegawai-pegawai
British dan sekutunya. Jabatan-jabatan dan sistem bercorak barat digunakan bagi
menggantikan sistem kerajaan tempatan. British mengadakan sistem Residen yang
nasihatnya mesti diterima pakai oleh Raja. Namun semua undang-undang
dilaksanakan dengan konsep Raja-in-Council. Tandatangan dan cop Sultan menjadi
pengesahan kepada undang-undang itu.
6.2. Sistem ini sebenarnya tidak lari
daripada apa yang telah berlaku dalam sistem Melayu lama. Raja yang menjadi
ketua negeri dan kerajaan membuat undang-undang tetapi yang menjalankannya
adalah pembesar-pembesar peringkat istana dan jajahan takluknya. Cuma yang
berbeza ialah nasihat British wajib diterima dan Sultan tidak lagi boleh
membuat undang-undang seperti dahulu. Namun dari segi kedudukan Sultan atau
Raja kekal diatas. British namakan dasar ini sebagai dasar ‘Protected States’.
Dengan itu negeri Melayu seperti Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan
bukan negeri jajahan seperti Melaka dan Pulau Pinang yang telah dijajah secara
langsung pada 1795 dan 1786. Pengekalan Sultan atau Raja sebagai ketua negeri
dan pengesahan kepada undang-undang negeri tetap menjadikan kedaulatan Sultan
kekal dalam struktur pentadbiran negeri.
6.3. Bagi negeri-negeri Melayu yang
dinaungi oleh British pada kurun 20 melalui Perjanjian Bangkok 1909, kedudukan Raja-raja
yang memerintah adalah lebih kukuh lagi. Disini, British hanya meletakkan
penasihat British sementara pentadbiran negeri tetap dilaksanakan oleh para
pembesar yang dilantik oleh Sultan. Kedaulatan dan kuasa Raja adalah lebih
kukuh dan tradisi tempatannya dapat diteruskan dengan baik. Negeri ini adalah
Johor, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.
6.4. Sehingga meletusnya Perang Dunia II,
British tetap tidak mengubah dasarnya melindungi negeri-negeri Melayu dan
mengiktiraf Raja-raja yang memerintah sebagai ketua negeri-negeri masing-masing.
7.
PENDUDUKAN JEPUN DI TANAH MELAYU
7.1. Pendudukan Jepun pada 1942-1945 juga
mengiktiraf kedudukan Raja-raja Melayu sebagai pemerintah negeri masing-masing.
Seperti juga pihak British, Jepun meneruskan tradisi yang telah ada; hanya
pegawai-pegawai pemerintah negeri dan daerah diambil alih oleh pegawai-pegawai
tentera Jepun. Raja-raja Melayu yang juga biasa bekerjasama dengan British
meneruskan kerjasama itu dan tetap menerima Maharaja Jepun sebagai ketua
empayar Jepun. Raja-raja Melayu juga turut belajar bahasa Jepun, bercucuk tanam
dan melindungi rakyatnya. Dengan cara bekerjasama dengan Jepun, Raja dapat
mengekalkan kedudukan mereka sebagai ketua negeri seperti zaman tradisional dan
pendudukan British dahulu.
8.
PERCUBAAN BRITISH MENGHAPUSKAN
INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU DAN KERAJAAN MELAYU
8.1. British telah datang semula ke Tanah
Melayu pada September 1945. British telah memperkenalkan satu sistem penjajahan
secara langsung ke atas negeri-negeri Melayu. Dengan penjajahan itu, kedudukan
Raja-raja akan dihapuskan secara mutlak oleh British. Dasar perlindungan (Protected Malay States) akan dicabut.
8.2. Untuk tujuan itu, satu perjanjian
mengambil alih kuasa Raja-raja Melayu itu telah dibuat dengan setiap Raja-raja
Melayu. Perjanjian yang dibuat dengan paksaan, kerelaan dan berserah kepada
nasib telah dibantu oleh Tentera Pentadbiran British (British Military Administration) bagi memudahkan tandatangan itu
dibuat. Dengan perjanjian itu, Raja-raja Melayu telah diturunkan daripada
tahta, dicabut kuasa pentadbiran dan kedaulatannya sebagai ketua negeri.
Raja-raja Melayu hanya menjadi anggota dalam Majlis Melayu yang membincangkan
soal agama Islam dan zakat fitrah. Pengerusinya adalah Gabenor Malayan Union.
8.3. Kehilangan kedudukan, kuasa dan
kedaulatan Raja-raja Melayu ini telah dibantah oleh rakyat Melayu disemua
peringkat. Media cetak / akhbar telah digunakan untuk menyatakan pendapat dan
bantahan. Persatuan-persatuan Melayu pula telah mengutus telegram kepada
Pejabat Tanah Jajahan untuk membantahnya. Mereka mahu kedudukan dan kedaulatan
Raja-raja Melayu dikembalikan. Mereka juga menolak penjajahan mutlak British ke
atas negeri mereka. Rakyat juga bermohon kepada Raja-raja di Station Hotel,
Kuala Lumpur supaya tidak menyokong perlantikan Gabenor Malaya Union. Parti
politik yang ditubuhkan khas untuk membantah Malayan Union iaitu UMNO telah
menjadi sebagai wakil orang Melayu untuk mengadap Raja-raja Melayu untuk
menyampaikan harapan rakyat jelata itu.
8.4. Raja-raja Melayu bersetuju dan bersatu
dengan rakyat untuk menolak Malayan Union. Ini bermakna wa’dat antara rakyat
dan Raja-raja Melayu di zaman Bukit Seguntang Mahameru telah terlaksana.
Pakatan antara Raja dan Rakyat telah menyelamatkan bangsa Melayu daripada
terhapus di Tanah Melayu negara yang telah diasaskannya sejak dahulu lagi.
Inilah peristiwa sejarah yang amat penting dalam tamadun bangsa yang patut
diingat sebagai satu iktibar yang penting.
9. INSTITUSI
RAJA DALAM PERSEKUTUAN TANAH MELAYU 1948
9.1. Bantahan orang Melayu dan Raja-Raja
Melayu telah menyebabkan British memulakan rundingan baru. Orang Melayu melalui
UMNO dan Raja-Raja Melayu telah meletakkan syarat bahawa sebarang perundingan
mestilah berasaskan kepada status politik
sebelum 1941 iaitu Dasar Perlindungan British ke atas orang Melayu hendaklah diadakan semula. Perundingan
telah dimulakan pada bulan Jun 1946 sehinggalah awal 1948 sehingga membawa
kepada tandatangan Perjanjian Persekutuan 1948 di King’s House, K.Lumpur. Dengan
Perjanjian itu tertubuhlah Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Febuari 1948. Dalam
bahasa Inggeris dikenal sebagai Federation
of Malaya.
9.2. Kepentingan Perjanjian dan Persekutuan
Tanah Melayu kepada Institusi Raja adalah sangat jelas dan amat penting sekali.
Antaranya:
i. Institusi
Raja-Raja dikekalkan sebagai ketua negeri dan mempunyai kedudukan, kedaulatan
dan kuasa seperti sebelum 1941. Dengan itu Raja-raja Melayu yang memerintah
selama ini sebagai payung negeri dan rakyat serta jajahan takluknya dikekalkan
sebagai teras kerajaan negeri.
ii.
Satu
Undang-undang Tubuh Negeri telah diadakan bagi
menentukan terdapatnya sebuah perlembagaan negeri bagi seluruh negeri
dalam Persekutuan Tanah Melayu. Dengan adanya perlembagaan negeri ini seluruh
pentadbiran negeri dalam Negara
dapat disusun dan diseragamkan. Ia juga dapat
menentukan keturunan atau dinasti
pemerintahan diraja yang menandatangani Perjanjian Persekutuan itu kekal
sebagai pemerintah secara bertulis dalam
perlembagaan negeri. Perlembagaan Negeri juga menjamin seluruh kedaulatan dan
kedudukan Raja-raja sebagai ketua negeri dan kaum kerabatnya dilindungi oleh
undang-undang. Dikatakan bahawa tidak ada undang-undang diperingkat pusat boleh
mengganggu kedudukan Raja-raja.
iii.
Rakyat
Raja dikekalkan dalam Persekutuan Tanah Melayu; ini bermakna sesiapa sahaja
yang lahir dinegeri-negeri Melayu Beraja seperti Selangor, Perak dan
sebagainya, mereka dikenali sebagai Rakyat Raja; dengan itu mereka berhak
kepada faedah-faedah diperingkat negeri dan dilindungi oleh Raja Negeri. Pada
tahun 1948 mereka yang dianggap Rakyat Raja ialah orang Melayu dan Orang Asli
yang lahir di negeri-negeri Melayu. Bagi Rakyat British pula ia terpakai kepada
mereka yang lahir di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura tanpa mengira bangsa. Rakyat
raja dikenal sebagai Protected Subject
tetapi bagi mereka yang bernaung dibawah British diketiga-tiga Negeri Selat itu
dikenal sebagai British Subject.
iv.
Konsep
Raja Berperlembagaan diwujudkan dalam Undang-undang Tubuh Negeri dan
Persekutuan Tanah Melayu. Konsep Raja Mutlak tidak lagi terpakai kerana telah
terdapat satu fasal iaitu Fasal 40 yang mengatakan bahawa apabila tiba masanya
nanti satu pilihanraya untuk memilih wakil-wakil rakyat dalam pengurusan negeri
akan diadakan. Ini bermakna, kuasa Sultan untuk memilih pentadbir negeri dan
jajahannya kini akan diserahkan kepada rakyat terbanyak. Peranan Baginda sebagai
pemilih pentadbirnya berlaku diperingkat tertinggi negeri seperti Menteri Besar
dan sebagainya. Pilihanraya Bandaran telah dijalankan pada 1951, Pilihanraya
Negeri pada 1954 dan Pilihanraya Majlis Persekutuan pada 1955. Pilihanraya Umum
atau Kebangsaan pula pada 1959.
v.
Majlis
Raja-Raja telah diwujudkan dan dilangsungkan sebagai satu makenisme untuk
Raja-raja menjalankan mesyuarat tahunan bagi kepentingan pentadbiran, politik
dan pengurusan diperingkat pusat. Majlis ini adalah berasal daripada Durbar, satu
majlis yang menggabungkan keempat-empat Raja-raja Melayu yang menjadi
pemerintah negeri Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan untuk berunding
dengan British mengenai pentadbiran negeri mereka yang dijadikan Negeri-negeri
Melayu Bersekutu, telah ditubuhkan pada 1897 tetapi hanya berfungsi pada awal
kurun 20. Ia kemudian ditukarkan kepada nama Malay Rulers Conference atau Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu. Majlis
ini telah kemudian dikenal sebagai Malay
Council atau Sultan Council dalam
Malayan
Union. Maka dengan penubuhan semula Majlis Raja-Raja dalam Perjanjian
Persekutuan Tanah Melayu bererti Raja-Raja Melayu mempunyai satu majlis untuk
menyuarakan pendapat dan pandangan mereka didalam hal-hal urusan pusat.
vi.
Terbentuknya
satu bentuk kerajaan Persekutuan yang menggabungkan kesemua negeri-negeri
termasuk negeri yang beraja dan tidak beraja sebagai satu unit pentadbiran yang
berpusat dengan Kuala Lumpur sebagai ibu negerinya.
vii.
Setiap
negeri akan mempunyai kuasa otonominya dengan bidang kuasa dalam bidang-bidang
tertentu yang termaktub dalam Senarai Negeri (State List). Bagi pihak Persekutuan pula, bidang kuasanya adalah
lebih luas daripada Negeri; bidang kuasa Persekutuan itu dikenal sebagai
Senarai Persekutuan (Federal List).
viii. Pesuruhanjaya
Tinggi British (British High Comissioner)
adalah Ketua Persekutuan Tanah Melayu tetapi Raja-raja Melayu yang memerintah
adalah Ketua bagi negerinya.
ix.
Pesuruhanjaya
Tinggi British dibawah Fasal 19, bertanggungjawab untuk melindungi kepentingan
orang Melayu; ini bermakna pihak British telah melahirkan satu dasar
perlindungan keatas orang Melayu sebelum kemerdekaan atau Fasal 153 dibentuk
dalam dalam perlembagaan Negara.
9.3 Dengan itu pembentukan Persekutuan
Tanah Melayu 1948 telah mengembalikan semula kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai
ketua negeri seperti keadaan sebelum Perang Dunia Kedua. Percubaan British
untuk menghapuskan institusi Raja sebagai pemerintah negeri, telah dapat
ditolak oleh Raja dan rakyat. Dengan itu satu pakatan yang kukuh dan padu
daripada pendokong-pendokong institusi Raja sebagai ketua negeri, kerajaan
dan rakyat telah dapat
dilakukan sehingga membolehkan
institusi itu dimasukkan dalam sebuah Perjanjian Persekutuan dan Perlembagaan
Negeri 1948. Ini menjadi asas kepada
kedudukan institusi Raja dalam perlembagaan Negara yang seterusnya. Ini bermakna,
usaha Raja dan Rakyat Melayu menentang Malayan Union itu patut menjadi indeks
perpaduan Raja dan Rakyat dalam sistem pentadbiran dan politik bangsa dan
Negara.
10. INSTITUSI
RAJA DALAM PERLEMBAGAAN MERDEKA 1957.
10.1. Perlembagaan Merdeka 1957 adalah satu
perlembagaan yang penting yang memberi satu titik perpisahan diantara
penjajahan dan kebebasan daripada cengkaman penjajahan. Perlembagaan ini juga
menunjukkan satu format politik dan pentadbiran yang baru terutama dari segi
kepimpinan dan kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu. Namun perkara-perkara lain
adalah hampir sama. Malah, dalam banyak hal, Perlembagaan 1957 sabenarnya
banyak berdasar kepada Perjanjian Persekutuan 1948. Ini sangat jelas dalam soal
kedudukan Raja-raja Melayu diperingkat Negeri dan juga didalam Persekutuan
Tanah Melayu.
10.2. Antara perkara yang berkaitan dengan
Institusi Raja dalam Perlembagaan 1957 itu ialah:
i.
Ketua
Negara ialah DYMM Yang DiPertuan Agong; Baginda menggantikan Pesuruhjaya Tinggi
British. Kedudukan sebagai Ketua Negara ini adalah tepat kerana Persekutuan
Tanah Melayu bukan lagi negeri naungan British; ia telah menjadi sebuah Negara
yang bebas daripada penguasaan penjajahan atau naungan. Ini bermakna, sistem
kerajaan Melaka sebagai sebuah kerajaan besar muncul kembali di Semenanjung
Tanah Melayu dengan meletakkan kuasa Raja sebagai ketua Negara. Dengan itu
pemerintah diraja menjadi asas sebuah kenegaraan moden dirantau yang dahulunya
dikenal sebagai Kepulauan Melayu.
ii.
Sebagai
pemimpin Negara, DYMM Yang Di Pertuan Agong juga mempunyai bidang kuasa yang
luas dalam esekutif, legislatif dan kehakiman; kuasa Baginda bukan sahaja melaksanakannya
tetapi juga dari segi perlantikan dan perintah tertinggi dalam ketiga-tiga
bidang tersebut. Seperti juga sebuah kerajaan besar saperti Melaka, Sultan hanya
melantik pembesar-pembesar utama seperti Bendahara, Temenggong, Laksamana, Penghulu
Bendahari dan pembesar jajahan yang lain untuk menjalankan kerja-kerja yang
diarahkan oleh Baginda.
iii.
Konsep
Raja Berperlembagaan diteruskan diperingkat Negara dan negeri. Diperingkat
Negara, Perdana Menteri akan memberi nasihat kepada Yang DiPertuan Agong dan
diperingkat Negeri pula oleh Menteri Besar. Namun perlantikan kedua-dua mereka
adalah dengan budibicara dan kuasa kedua-dua Baginda. Pilihanraya juga menjadi
tulang belakang demokrasi berparlimen Negara. Pilihanraya umum pertama selepas
merdeka ialah pada 1959.Semua pentadbiran Negara kini mengikut apa yang telah
dilaksanakan dengan sistem yang telah diperkenalkan oleh British tetapi dengan
kepimpinan tempatan.
iv.
Diperingkat
negeri pula Raja-raja Melayu kekal sebagai ketua negeri dengan Undang-undang
Tubuh Negeri terus diterima pakai. Sultan bertanggungjawab melantik Menteri
Besar yang menjadi pengurus pentadbiran harian negeri. Nama jawatan ini telah
diadakan sejak 1948 lagi.
v.
Rakyat
Raja dan Rakyat British dijadikan Rakyat
Persekutuan; namun Raja tetap memegang taraf Rakyat Raja bagi negeri
masing-masing; kuasa mengampun dan mengurniakan kedudukan kepada rakyatnya
tetap dipegang oleh Sultan yang memerintah.
vi.
Majlis
Raja-Raja tetap diwujudkan dengan fungsi yang lebih besar dan sangat penting
iaitu melantik DYMM Yang DiPertuan Agong dan Timbalan Yang DiPertuan Agong bagi
setiap lima tahun sekali. Majlis ini juga bertanggungjawab melindungi kedudukan
dan kedaulatan Raja-Raja Melayu saperti yang termaktub dalam perlembagaan
Negara dan negeri. Soal pentadbiran Negara juga diberi perhatian disamping
memberi perlindungan kedudukan istimewa orang Melayu.
vii.
Raja-Raja
Melayu terutama DYMM Yang DiPertuan Agong menjadi pelindung kepada Fasal 153
iaitu peruntukan khas dalam perkhidmatan awam, permit, lesen, biasiswa dan
latihan-latihan serta pendidikan yang khusus kepada orang Melayu dan bumiputra.
viii.
Agama
Islam dijadikan agama Persekutuan dan diperingkat negeri dijadikan agama rasmi
dengan Sultan sebagai pelindungnya. Keadaan ini bersesuaian dengan kedudukan
Islam sebagai sistem kepercayaan dan cara hidup masyarakat tempatan. Sikap
British yang mengiktiraf agama Islam dan adat istiadat Melayu dibawah kuasa Sultan
seperti dalam Perjanjian Pangkor 1874, telah menjadikan kedua-duanya kekal
dalam bidang kuasa Raja diperingkat negeri dan menjadi agama rasmi Persekutuan.
Dengan itu apa yang telah dimulakan di Melaka telah diteruskan sehingga kehari
ini.
ix.
Konsep
kerajaan Persekutuan diteruskan selepas kemerdekaan Negara.
10.3 Dengan itu Perlembagaan 1957 telah
mengekalkan, memelihara dan memperkukuhkan lagi kedudukan dan kedaulatan
institusi Raja-Raja didalam perlembagaan. Ini bermakna, Perlembagaan Merdeka
telah meletakkan institusi Raja sebagai satu elemen dan institusi pentadbiran
dalam Negara; ia tidak boleh dicabar kedudukannya kerana telah dilindungi oleh
undang-undang iaitu perlembagaan Negara yang merupakan peraturan tertinggi
dalam Negara yang merdeka dan berdaulat. Dengan itu sebuah institusi yang
bermula daripada kurun masehi 1 itu dan bersifat tradisional kini telah menjadi
kontemprori kerana keputusan yang dibuat dalam tahun 1946 oleh Raja dan Rakyat
Melayu.
11. INSTITUSI
RAJA DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA 1963.
11.1. Perlembagaan Malaysia telah terlahir
dengan penubuhan Malaysia pada 16
September 1963. Perlembagaan ini adalah perlembagaan yang menggunakan
Perlembagaan 1957 dengan pindaan dan tambahan-tambahan yang perlu bagi menyesuaikan
dengan kemasukan wilayah-wilayah lain dalam Malaysia. Perlembagaan Malaysia
juga mempunyai 20 perkara istemewa bagi Sabah dan Srawak. Bagaimanapun, kedua-dua
negeri bukanlah negeri beraja, maka segala perkara yang berkaitan dengan
institusi Raja tetap kekal seperti Perlembagaan 1957. Ini bermakna, semua peruntukan
dan hal ehwal berkaitan dengan bidang kuasa, kedudukan dan kedaulatan Raja
telah dimasukkan dalam Perlembagaan Malaysia. Ini termasuklah DYMM Yang
DiPertuan Agong sebagai Ketua Negara, bidang kuasanya dalam esekutif, legislatif
dan judiseri, Majlis Raja-Raja, Fasal 153 serta Undang-undang Tubuh Negeri
diperingkat negeri.
12. KESIMPULAN
12.1. Sejarah telah membuktikan bahawa
institusi Raja adalah satu instutusi pemerintahan di Kepulauan Melayu yang
telah wujud sejak Kurun Masehi 1. Walaupun terdapat unsur-unsur luar namun cara
pembentukannya adalah bersifat tempatan.
Ia juga menunjukkan adanya satu kontrak sosial diantara Raja dan rakyat
mengenai kedudukan dan persefahaman ikatan diantara mereka dalam membina
kerajaan dan negeri. Institusi Raja ini digunakan diseluruh Kepulauan Melayu
termasuk di Semenanjung Tanah Melayu.Dikawasan ini Kesultanan Melaka telah
menjadi kerajaan yang telah mencapai tahap tamadun yang tiggi sehingga
melahirkan satu sistem kerajaan yang berpaksikan institusi Raja sebagai
tunggaknya diseluruh Tanah Melayu.
12.2. Walaupun Melaka dapat dikalahkan oleh
Portugis, tetapi kerajaan dibawah pengaruh dan naungannya terus berdiri teguh
secara bebas dengan mengamalkan sistem pentadbiran yang berpaksikan institusi
Raja. Perak, Pahang, Johor, Terengganu dan lain-lain telah mewarisi legasi
Melaka itu. Dengan itu apabila kuasa barat lain terutamanya British membuat
perjanjian dengan Raja-raja Melayu secara berasingan, itu bukan sahaja menunjukkan kemerdekaan negeri-negeri itu kekal tetapi
juga pengiktirafan British terhadap sistem kerajaan yang berpaksikan institusi
Raja yang telah wujud disitu. Ini bermakna sebelum kedatangan kuasa luar samada
dari barat ataupun timor, institusi Raja yang menjadi ketua kerajaan tempatan
telah ada dan beroperasi dengan caranya yang tersendiri.
12.3. Kedatangan British dengan sekim
Malayan Union sebagai satu usaha untuk menjajah secara mutlak dan
menghapuskan institusi Raja sebagai
teras kerajaan tempatan, telah ditolak dengan perpaduan Rakyat-Raja serta
kebangkitan nasionalisme yang tidak pernah muncul sebelum ini. Orang Melayu
telah menggabungkan diri dalam satu parti politik iaitu UMNO dan Raja-raja
Melayu telah menjadi penaungnya. Penolakan ini memeranjatkan Parti Buruh yang
menerajui Britain; namun dengan persetujuan bersama serta perpaduan orang
Melayu serta dan adanya ancaman Parti Kominis Malaya dan golongan radikal
Melayu yang bersekutu dengannya, British menarik balik Malayan Union dan
menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu melalui Perjanjian Persekutuan
1948.
12.4. Persekutuan Tanah Melayu 1948 adalah
kejayaan besar bagi Raja-raja dan rakyatnya. Raja-raja Melayu telah mendapat semula kerajaan, takhta, negeri dan
rakyatnya saperti sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua. Majlis Raja-Raja juga
ditubuhkan bagi menjaga kepentingan Raja-raja Melayu dan rakyatnya. Kedudukan
Istemewa Melayu juga dilahirkan dibawah perlindungan Pesuruhjaya Tinggi
British. Bentuk kerajaan Persekutuan juga telah dilahirkan dengan menggabungkan
semua negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu dengan setiap negeri tetap ada
otonomi dan kedudukan Raja yang memerintah tidak tergugat langsung.
12.5. Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu
1957 terus mengekalkan institusi Raja sebagai tonggak pemerintahan bukan sahaja
diperingkat negeri tetapi juga diperingkat Persekutuan. Salah seorang daripada
Raja-Raja Melayu telah dilantik sebagai DYMM Yang Di Pertuan Agong oleh Majlis
Raja-Raja bagi menjadi Kepala Negara. Segala keistemewaan yang telah dicapai
dalam zaman tradisionalnya terus dikekalkan. Namun perubahaan masa telah
berlaku; kesedaran Raja untuk menjadi relevan dalam zaman moden ini telah
menyebabkan Raja bersetuju untuk mengubah diri daripada Raja Mutlak kepada Raja
Berperlembagaan. Didalam perlembagaan ini Raja-raja Melayu sanggup untuk
menerima nasihat para pembesarnya dalam hal-hal pengurusan Negara dan negeri
namun dalam soal perlantikan para pembesar utamanya dalam Kabinet, Kehakiman, Polis,
Ketenteraan dan semua suruhanjaya adalah dalam bidang kasanya. Dengan itu
Institusi Raja tetap mempunyai bidang kuasa yang jelas sebagai ketua atau
kepala pentadbiran dan pengurusan Negara.
12.6. Pembentukan Malaysia pada 1963 tidak
mengubah kedudukan, peranan, bidang kuasa dan kedaulatan Institusi Raja dalam
pentadbiran dan pengurusan Negara. Segala apa yang terdapat dalam Perlembagaan
1957 diteruskan dan diperluaskan sesuai dengan keadaan dan kedudukan Raja-Raja.
Hari ini Raja-Raja Melayu telah dikenal sebagai Raja-Raja Malaysia saperti yang
sering digunakan untuk pengishtiharan Hari Raya dan sebagainya.
12.7. Dengan itu bolehlah disimpulkan bahawa
Institusi Raja di Malaysia adalah tetap relevan kerana ia telah termaktub dalam
perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara yang merupakan peraturan tertinggi Negara
memang boleh diubah, namun Majlis Raja-Raja dan rakyat jelata serta Raja-Raja
sendiri tentunya tidak mahu melihat sesuatu yang telah menjadi tradisi dan
system kemasarakatan yang tidak pernah berkonflik dengan kehendak zaman, akan
terkubur begitu sahaja. Ia adalah satu institusi politik, budaya, pentadbiran, ekonomi
dan perundangan yang telah menjadi identiti masyarakat dan Negara Malaysia.
Malaysia mejadi istimewa kerana mempunyai
institusi Raja yang dapat menyesuaikan diri dengan zaman dan hanya
bersuara apabila rakyat tidak dapat mengendalikan Negara dengan tenteram. Institusi
Raja adalah sebagai pengimbang dan pemantau kepada pengurusan Negara itu sendiri.
Itulah kepentingan kedudukannya sebagai Raja Berperlembagaan. Sebagai pemantau
yang mempunyai kedudukan yang jelas dalam perlembagaan Negara, 7 Wasiat
Raja-Raja patutlah menjadi panduan kepada generasi yang tidak kenal sejarah
bangsa dan Negara.
No comments:
Post a Comment