Thursday 2 October 2014

Tanjak di Kepala Keris Tumpul

“Melayu Dulu dan Kini:Gahnya Tanjak di Kepala,Tumpul pula Keris di Pinggang”


Pendahuluan
Sejarah masyarakat Melayu di Malaysia terlalu panjang .Cukuplah setakat diringkaskan untuk renungan bersama saperti kehenda tajuk diatas.Tajuk diatas membawa erti yang amat pedih untuk diungkapkan.Tanjak dikepala melambangkan kedudukannya yang tinggi tetapi senjata dipinggang telah dimakan usia dan tak dapat digunakan.Itulah hakikat yang melingkari manusia Melayu hari ini dalam negara Malaysia.Kesemuanya ini kerana perubahaan politik dan pentadbiran yang memakan Melayu itu sendiri.Bukan sahaja tanahairnya menjadi milik sejagat tetapi nama dan rohnya juga turut mengecil dan mengecut.Kini ia menjadi serbasalah dalam kelonsong yang mencekiknya pada setiap saat dan disetiap tarikan nafas yang dihela.


Melayu Dahulu: Mencipta Tamadun.
Kekuatan orang Melayu berdiri diatas tanjak Raja-raja Melayu yang mengetuai dan membina kemasyhuran Kerajaan-kerajaan Melayu sebelum kedatangan barat menguasai rantau ini.Kerajaan lama Gangga Negara, Bruas dan Kedah Tua serta Langkasuka tersohor dalam bentuk sejarah lisan dan hikayat.Parameswara pula telah membawa kerajaan kechilnya Kerajaan Melayu dari selatan Sumatra/Empayer Sri Wijaya merantau ke Temasik/Singapura beberapa tahun sebelum keMelaka.Empayer Melaka tersohor diseluruh dunia sebagai pusat perdagangan antarabangsa,pusat perkembangan Islam dan pusat pertembongan budaya yang unik. Melaka dapat menggantikan nama Semenanjung Emas pada zaman lampau dengan Semenanjung Melaka sebagai daerah empirenya. Kehebatannya adalah sangat bermaana dalam kekuatan tamadun Melayu;ia menjadi asas dan landasan kukuh untuk memberi identity ke Melayuan itu sendiri. Segala sistem kerajaan dan pentadbiran,budaya,social dan ekonomi telah digarap dan dilaksanakan sebagai satu sistem yang kukuh.Perluasan kuasa politiknya pula telah membolehkan pengaruh nya berkembang keatas kerajaan Melayu yang lain sehingga sistem itu menjadi satu tradisi milik bersama diseluruh Semenanjung Tanah Melayu.Walaupun Portugis menguasai Melaka pada 1511,namun kerajaan-kerajaan Melayu naungannya terus bebas mengamalkan sistem itu ;ini  bermaana selama hampir 500 tahun tamadun Melayu telah berakar umbi ditanah ini sesuai dengan keperluan dan kelangsungan bangsa tamaddun Melayu itu sendiri.`Tanjak bergemerlapan dikepala dan keris tajam berkilat tersisip kukuh dipinggang.’

Kolonialisme British sejak kurun 19 secara berperingkat-peringkat, telah membaratkan sistem tradisional  itu dan memanggil daerah ini dengan British Malaya. Pembaratan British keatas tamadun Melayu ini telah mengubah sedikit demi sedikit wajah,roh dan semangat Melayu itu sehingga secara perlahan-lahan kekuatan dan jati diri Melayu itu menjadi rapuh dan luntur.Namun British tidak secara kejam membunuhnya; tradisi kerajaan Melayu dikekalkan dengan Sultan Negeri Melayu kekal diatas tahta dan menjadi ketua dan payong negeri.Yang diubah oleh British ialah sistem pentadbiran harian yang kini diketuai pleh pegawai-pegawai British dengan jabatan-jabatan kerajaan yang dibentuk dan dijalankan mengikut undang-undang dan peratoran barat dan British.Pengenalan sistem ekonomi barat juga berlaku dan ekploitasi ekonomi secara perdagangan bebas dan kapatalisme dilaksanakan. Istana Sultan Melayu bukan lagi pusat pentadbiran,politik ,ekonomi dan budaya masyarakat;ia telah beralih sepenohnya kepada pejabat Residen, Residen Jeneral,dan Gabenor Negeri Selat.Raja-raja Melayu diletakkan dalam Durbar,yang hanya bermesyuarat sekali sekala.Namun diperingkat negeri ia bertindak sebagai Raja-ini-Council, yang melambangkan Sultan tetap berdaulat dan mengesahkan undang-undang yang digubal diperingkat negeri.Pembesar-pembesar Melayu diketepikan tetapi anak-anak mereka yang terpilih dihantar belajar ke MCKK untuk menjadi pegawai pentadbiran kelas 2 dan 3 Perkhidmatan Awam Melayu(MAS) sebelum ditimbangkan untuk menganggotai Perkhimatan Awam Malaya (MCS). Bahasa Inggeris menjadi bahasa pentadbiran walaupun Bahasa Melayu tulisan Jawi menjadi bahasa pentadbiran dinegeri-negeri Melayu terutama diutara dan timor Semenanjung Tanah Melayu.(1)

Eksploitasi ekonomi terutama dipantai barat Semenanjung telah membawa satu keperluan baru iaitu keperluan tenaga pekerja yang cukup besar sehingga  tidak dapat ditampong oleh orang tempatan. Pembukaan ladang-ladang getah dan perlombongan bijihtimah secara meluas telah menyebabkan kemasokan pekerja-pkerja asing secara mudah dan terbuka;tidak ada kuatkuasa imigrasi kerana British mengamalkan dasar terbuka.(open door policy).Di Selangor,Perak dan N.Sembilan ada kalanya penduduk sementara lebeh besar jumlahnya darpada penduduk kekal.Hal ini berlaku dimana-mana sahaja  British berkuasa atau menjajah.Kesan yang lain juga ialah pembukaan bandar-bandar baru yang jauh lokasinya daripada kawasan penempatan dan pentadbiran Sultan Negeri Melayu yang selalunya dipanggil bandar diraja.;misalnya Kelang di Selangor telah digantikan dengan K.Lumpur, Kuala Kangsar telah digantikan dengan  Taiping dan Ipoh; begitu juga Pekan telah digantikan dengan Kuatan dan Seremban pula menggantikan Seri Menanti.Penubohan Bandar-bandar baru ini membawa bersama aktiviti-aktiviti perniagaan dan penempatan baru serta penghuni-penghuni perlabagai bangsa terutama orang Cina dan Eropah; orang Melayu terus tinggal dipenempatan lama luar bandar dan disekeliling istana raja .Orang India pula datang menghuni secara majoritinya diestate-estet ataupun diladang-ladang getah.Demografi Semenanjung Tanah Melayu telah berubah sama sekali.Orang Melayu bukan lagi penghuni tunggal daerah ini.Tanah Melayu telah dikongsi bersama akibat pendudukan dan penguasaan politik,pentadbiran ,ekonomi dan sosial   British di Tanah Melayu. Namun `tanjak dikepala masih terletak erat ,walaupun keris mula berkarat dipinggang’.(2)

Raja Melayu dan rakyatnya terus menerima kesan politik antarabangsa yang bergolak sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua pada 1940an.Perebutan imperialis barat dan timor,telah membawa pendudukan Jepun selama beberapa tahun di Tanah Melayu iaitu  pada tahun 1942-1945.Sekali lagi dasar Jepun telah cuba mempengaruhi tamaddun Melayu dan kesultanannya.Saperti juga British,Jepun tidak membuang kedudukan dan institusi Raja-raja Melayu;mereka dikekalkan diatas tahta tetapi pentadbiran,ekonomi dan social serta budaya penjajah terus dipaksakan keatas raja dan rakyat Melayu.Semenanjung Tanah Melayu telah dibahagi dua;separoh kepada Siam dan separoh kepada Jepun,tetapi semua raja dan rakyat dipaksa tunduk kepada Maharaja Jepun .Rakyat dan Tanah Melayu dimasukkan kedalam konsep  Kawasan Sekemakmoran Asia dengan Jepun sebagai ketuanya.Akhirnya Jepun membawa dan menjanjikan kemerdekaan Tanah Melayu bersama Indonesia Raya dibawah kepimpinan Sukarno. Namun ini tidak kesampaian kerana perkiraan dibuat tanpa persetujuan Raja-raja  dan rakyat terbanyak Melayu. Ia dilakukan oleh Ibrahim Yaakob yang terpaksa mencari perlindongan politik di Indonesia selepas Jepun menyerah kalah tanpa syarat di Tanah Melayu.(3) Maka `tanjak dikepala terselamat, walaupun keris semakin berkarat dipinggang’.

Penguasaan 13 hari Parti Kominis Malaya sekali lagi melemahkan Melayu. Parti ini bukan sahaja menguasai balai-balai polis diseluruh Negara,tetapi juga menghukum mengikut undang-undangnya sendiri; pegawai daerah, penghulu,tok-tok sidang dan orang-orang Melayu yang dianggapnya talibarut Jepun telah dibunuh, disula, dibakar rumah dan penghuninya diwaktu malam dan tidak kurang juga yang ditangkap dan hilang ghaib tanpa berita. Tidak kurang juga cerita mengenai masjid-masjid diceroboh dengan najis-najis haiwan yang haram kepada orang Melayu. Dengan menggunakan senjata  British dan pasukan MPAJA/Bintang Tiga PKM menunjukkan kekuatan tenteranya yang akhirnya dilihat sebagai satu provokasi kaum Melayu dan Cina.Pertumpahan darah berlaku dan ini melahirkan kebencian kaum yang mendalam disetengah-setengah tempat. Namun pengambilan kuasa oleh British Military Army (BMA) memberhentikan langkah PKM untuk berkuasa. Selamatlah `tanjak ,tetapi keris Melayu mula tumpul untuk melawan musoh.(4)

Tanjak dan keris Melayu telah tersingkir semasa Malayan Union diperkenalkan oleh British pada 1 April 1946.Selama hampir dua tahun,Raja-Raja Melayu dan rakyat Melayu berunding dengan British untuk mengembalikan semula status qu  yang telah dibena sebelum ini.Mereka juga terpaksa bergelut dengan usaha-usaha pelbagai pihak dan parti politik yang tidak setuju dengan dasar mengembalikan ststus quo Melayu itu.Parti Kominis Malaya(PKM),Parti Kebangsaan Melayu Malaya,All Malayan Council of Joint Action(AMCJA),kesatuan dan persatuan-persatuan buruh dan penyokong-penyokong Parti Kominis Indonesia dan Indonesia Raya di Tanah Melayu bersatu tenaga menentang British,United Malays National Organization(UMNO) dan Raja-raja Melayu yang bergerak dengan dasar tersebut. Perlembagaan Rakyat PKM dan sekutunya,walaupun menyokong raja dan Melayu,tetapi itu hanya satu strategi politik sementara kerana dasar asal PKM dan sekutunya adalah untuk melahirkan sebuah republik dan memberi kesamarataan kepada sesiapa sahaja yang menduduki Tanah Melayu.Nama Malaya juga dikekalkan.(5)

British melihat strategi serampang dua mata PKM itu boleh menikamnya semula saperti pemerintahan 13 hari PKM. British memilih UMNO dan Raja-raja Melayu yang menggunakan jalan perundingan. Dengan itu Persekutuan Tanah Melayu telah diistiharkan pada 1 Febuari 1948. Dibawah kerajaan ini semua status quo sebelum 1941 dipulangkan kepada Raja Melayu dan orang Melayu;Raja-raja Melayu menjadi ketua dan payong negeri dan rakyatnya disetiap negeri beraja dan kerakyatan pula terkawal untuk orang Melayu dan Orang Asli dinegeri mereka sahaja.Menteri Besar dilantik oleh Raja sebagai pelaksana pentadbiran harian negeri. Senarai Negeri dan Senarai Persekutuan dibentuk untuk pembahagian kuasa yang jelas diantara negeri dan pusat. Undang-undang Tuboh Negeri diadakan dan Undang-undang Persekutuan juga dibentuk melalui Perjanjian Persekutuan 1948.Maka `tegaklah semula tanjak dikepala dan tersisiplah semula keris dipinggang’. Penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union dan perpaduan Raja dan rakyat telah mengembalikan semula kedaulatan Raja dan maruah bangsa.


Melayu Dahulu:Berkorban Apa Sahaja.
Kemerdekaan yang menjadi agenda  perjuangan orang Melayu samaada golongan  kanan dan radikal Melayu telah menyebabkan senario politik berubah.Faktor kebangkitan bersenjata Parti Kominis Malaya serta kegiatan politik orang luar yang bersifat tempatan telah memperkukuhkan lagi  fenomena ini. British pula telah meletakkan syarat kerjasama kaum dan perkongsiaan kuasa politik menjadi modus operandi kepada gerakan kerajaan sendiri dan kemerdekaan negara. Dengan itu UMNO telah memulakan langkah-langkah penting untuk membawa kempulan-kumpulan lain berunding untuk mencapai format tersebut.Maka Dato’ Onn sebagai Yang Di Pertua UMNO telah membuat beberapa langkah untuk tujuan tersebut;antaranya membuka keahlian UMNO sebagai Ahli Bersekutu kepada orang bukan Melayu pada 1949 dan kemudian Ahli Biasa kepada orang bukan Melayu pada 1951. Namun UMNO dan orang Melayu tidak setuju;maka beliau lalu menubuhkan  Parti Kemerdekaan Malaya iaitu satu parti yang menyatukan semua kaum dalam sebuah parti dengan bermatlamatkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.(6)

Percubaan Dato’ Onn dan IMP itu gagal apabila dalam Pilihanraya Bandaran K.Lumpur 1952 perikatan UMNO-MCA telah berjaya mengalahkan IMP(Parti Kemerdekaan Malaya);ini membawa pendekatan baru iaitu kerjasama politik diantara parti-parti perkauman adalah pendekatan yang diterima oleh  masyarakat.Dengan itu,pembentukan Parti Perikatan pada tahun 1955 untuk menghadapi Pilihanraya 1955 dan kejayaan Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan,adalah bukti kukuh format politik kerjasama kaum  di Persekutuan Tanah Melayu oleh penduduknya yang pelbagai kaum.Pengorbanan Melayu dalam pilihanraya ini ialah memberi 15 kerusi untuk MCA dan 2 kerusi untuk MIC,walaupun kawasan majoriti  orang Melayu adalah 51 kerusi.Pakatan murni menjadi dasar penting untuk British melepasklan semula kedaulatan pentadbiran Negara ini kepada anak negeri dan rakyatnya.Tanjak dikepala masih terletak kukuh,tetapi keris tidak lagi menjadi asas kepada kemegahan kuasa kerajaan Melayu.Pengorbanan berkongsi tanahair dan kuasa politik menjadi kaedah terbaik ,seperti kehendak British dan penduduk lain,untuk mendapat kerajaan sendiri dan seterusnya kemerdekaan Negara pada 31 Ogos 1957.(7)

Perkara kedua tolak ansur itu ialah dalam soal kerakyatan.Jika dalam Malayan Union British cuba membuka negeri ini kepada sesiapa sahaja yang lahir disini dan jajahan taalok British diserata dunia,tetapi berjaya disekat dalam Perjanjian Persekutuan 1948, namun dalam mendapatkan kemerdekaan Negara ,isu kerakyatan menjadi tukargantinya.Dalam perundingan diantara tiga parti komponen Parti Perikatan,soal kerakyatan jus soli telah menjadi isu yang paling lama diperbincangkan.Soal-soal lain tentang kedudukan orang Melayu seperti kedudukan istemewa,agama Islam,bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,perkhidmatan awam dan tanah rezab Melayu juga  diperdebatkan,walaupun semua telah termaktub dalam dasar-dasar British dan Negeri-negeri Melayu sebelum merdeka lagi.Dalam perundingan-perundingan itu, kerakyatan berdasarkan jus soli atau kelahiran itu menjadi kunci kepada persetujuan kerjasama poltik Parti Perikatan.Pihak UMNO dengan hanya satu suara terpaksa tunduk kepada dua suara daripada MCA dan MIC;walaupun Parti Negara dan PAS sebagai pembangkang tidak bersetuju.Mereka membantah dalam Kongres Pemuda Melayu 1955 dan Kongres Melayu 1957.Namun,bagi orang bukan Melayu dalam kerajaan dan luar kerajaan itulah perkara yang memudahkan mereka menyokong kemerdekaan;walaupun Parti Kominis Malaya memilih untuk tetap menjadi penentang kepada kemerdekaan yang padanya tidak menerima Kominisme sebagai ideologi politik Negara.(8)Kompromi politik ini mengekalkan tanjak dikepala tetapi keris semakin pudar cahayanya,walaupun masih tersisip dipinggang.

Penubuhan Malaysia 1963 sekali lagi mengukuhkan sistem kerajaan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen di Malaysia.Ketua Negara dan negeri diketuai oleh Raja-raja Melayu walaupun sistem pentadbiran harian dipegang oleh rakyat yang memilih pemimpinnya lima tahun sekali melalui pilihanraya negeri dan persekutuan.Parti-parti politik yang bertanding semakin banyak kerana Sabah dan Sarawak mempunyai penduduk yang lebih berencam daripada Malaysia Barat.Isu-isu yang dibangkitkan dalam setiap pilihanraya juga terlalu pelbagai,tetapi isu kedudukan istemewa Melayu ,bahasa Melayu dan Raja-raja Melayu tetap menjadi modal parti-parti pembangkang dan perkauman untuk menarik perhatian pengundi yang juga sebahagian kecilnya melihat kepentingan kaum lebih utama daripada perpaduan dan pembangunan Negara.Ramai juga pengundi yang terpengaroh dengan isu-isu lokal dan persenoliti tertentu.Malah berlaku juga pertumpahan darah selepas pilihanraya 1969;namun semua pilihanraya itu tetap tidak mencabar sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang menjadi teras kenegaraan Malaysia ini.(9).


Melayu Kini:`Tanjak Goyah Di Kepala ,Keris pula Tumpul  Di Pinggang.’
Pada hari ini,ternyata sekali keseluruhan kekuasaan orang Melayu dalam politik Malaysia mula dicabar secara terbuka bukan sahaja oleh pihak pembangkang tetapi juga komponen BN dan orang Melayu itu sendiri.Memang selama ini didalam setiap pilihanraya,isu-isu tentang orang Melayu dibangkitkan tetapi hal itu hanya berlaku dikalangan parti-parti pembangkang yang bersifat cauvanis dan sosialis(9); memang isu-isu ini mempengaruhi sebahagian kecil rakyat,tetapi ianya tidaklah sampai menggegarkan dan mencabut kuasa kerajaan Parti Perikatan (PP) dan BN diperingkat negeri saperti hari ini.Memang PP dan BN secara konsisten tidak dapat menguasai Kelantan dan P.Pinang disepanjang pilihanraya sebelum 1969,tetapi aggota komponen PP dan BN tidaklah ditolak dengan teroknya oleh pengundi bukan Melayu.Parti-parti MCA,MIC dan Gerakan sentiasa mendapat tempat dikalangan orang bukan Melayu yang sederhana dan bersifat nasionalis;tetapi dalam Pilihanraya 12 mereka telah meninggalkan ketiga-tiga parti tersebut dengan begitu tega sekali sehingga hanya dengan bantuan Sabah dan Sarawak baharulah Barisan Nasional(BN) mampu membena kerajaan diperingkat pusat. Ternyata tanjak dikepala mula goyah.




Sumber:Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia(SPR),Keputusan Pilihanraya Ke 12,8 Mac 2008.


Memang secara jelasnya Pilihanraya Ke 12, yang terlaksana pada 8 Mac 2008, telah meninggalkan kesan yang mendalam dan telah mengubah lanskap politik Malaysia.Secara kasarnya beberapa kesimpulan umum boleh dilihat dengan jelas.Antaranya:

1)Jika sebelum ini disetiap pilihanraya akan menyaksikan kejayaan Parti Perikatan(1955-1974) dan Barisan Nasional(1974-kini) yang hebat dan tidak pernah gagal untuk mempertahankan 2/3 kerusi di Parlimen dan semua negeri kecuali Kelantan,berada dalam tangannya,tetapi dalam pilihanraya lepas ini tidak lagi menjadi penyudahnya;BN hanya dapat membentuk kerajaan pusat dengan kelebihan mudah.

2)Barisan Nasional hilang 5 negeri ;ada diantaranya yang makmor dan sentiasa dicabar dan hampir serta pernah ditaalok oleh pembangkang sebelum ini iaitu Selangor, Perak , P.Pinang, K.Lumpur dan Kelantan;
3)Pencapaian pembangkang adalah yang terbaik sekali dalam sejarah pilihanraya Negara ini.Mereka telah mengikut format BN yang menggabongkan tiga parti lama dan baru dengan kepimpinan nya diterajui oleh orang Melayu.Selama ini PAS dan DAP saperti air dengan minyak tetapi demi matlamat politik yang sama ,mereka  telah melakukan satu gabongan yang sangat longgar,yang dikenal sebagai Pakatan Rakyat.(PR).
Kemenangan Pakatan Rakyat(PR) yang begitu ketara diperingkat Parlimen dan Negeri telah mencabar politik Melayu itu sendiri,bukan setakat BN sahaja. Mereka mempunyai semangat yang luar biasa sehingga kadang-kadang bersifat sangat emosional dalam menangani isu-isu politik selepas itu.Ini boleh dilihat dalam banyak insiden disepanjang tahun 2008 dan seterusnya.Ada pihak yang mengatakan itu adalah strategi PR untuk melemahkan terus kepercayaan dan keyakinan orang ramai kepada BN dan dengan itu mudah sekali untuk memenangi pilihanraya akan datang.(10)

Namun apa yang jelas sekali , kritikan itu  telah berlaku dengan begitu terbuka tanpa mengambil kira sensitiviti orang Melayu dan Raja-raja Melayu itu sendiri. Sepanjang bulan April 2008 sehinggalah Mei 2009 cabaran dan perdebatan tentang Fasal 153,152,institusi raja,agama Islam dan perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru(DEB) telah mengerohkan dan mendebarkan suasana politik Malaysia.Cabaran dan rasa tidak puas hati dilontarkan didada akhbar,mesyuarat-mesyuarat agong parti-parti politik,laman-laman blok,twitter dan e-mail.ia juga diperdebatkan dikaca-kaca tv swasta dan kerajaan.Semua perkara yang berkaitan dengan orang Melayu termasuk Raja-Raja dalam perlembagaan dan Rukun Negara telah terbuka setelah disimpan dengan Akta Hasutan 1970;Peristiwa 13 Mei 1969 seolah-olah mahu terlerai semula.(11)

Diantara negeri yang paling bergolak ialah Perak; banyak isu yang ditimbulkan kerana kekuatan Democratic Action Party(DAP) iaitu 18 kerusi negeri adalah sangat dominion jika dibandingkan dengan PAS(6kerusi) dan PKR(7kerusi).Kalau diteliti secara terperinci ternyata cara yang dilakukan adalah sangat asas iaitu mempersoalkan  prinsip-prinsip Perlembagaan yang berkaitan dengan orang Melayubidangkuasa dan sekaligus institusi raja-raja Melayu itu sendiri.Antara perkara yang berkaitan dengan bidangkuasa DYMM Sultan Perak.Antara yang terbuku dan menjadi nanah dihati DAP sehingga sehingga menjadi polimek dan kekerohan politik ialah:
a)Kuasa perlantikan Menteri Besar saperti yang diperuntukan oleh Undang-undang Tubuh Perak adalah kuasa budi bicara DYMM Sultan Perak;ini amat dikesalkan oleh sasetengah pihak kerana majoriti kerusi adalah dipihak bukan Melayu;berbanding dengan negeri yang tidak beraja saperti P.Pinang,Ketua Menteri boleh datang daripada sesiapa sahaja asalkan parti itu mendapat majoriti.Ini adalah rasa tidak puas hati yang pertama  yang sabenarnya mewarnai dan mendasari  hati politik orang bukan Melayu dinegeri Perak.

b)Tegoran dan bantahan DAP terhadap kuasa DYMM Sultan Perak dalam soal perlantikan Pegawai kanan dalam Jabatan Agama Islam Perak.Ini timbul pada awal Mei 2008.Tindakan DAP negeri dan pusat ini tentulah mencabar dan menyinggong istana Perak kerana soal agama Islam memang terletak terus dibawah kuasa  dan perhatian Sultan;dalam hal ini Mentri Besar sepatutnya lebih peka kepada  peruntukan dan perkenan Sultan Perak sebelum membuat tindakan.Adakah kerana desakan atau tamak kuasa sehingga tidak mempedulikan bidang kuasa Sultan Perak yang tertulis dengan jelas dalam Undang-undang Tubuh Perak.Sebenarnya,tindakan ini mula mencabar peranan Raja Melayu dalam bidang kuasa yang telah dilembagakan sejak beratus-ratus tahun sebelum merdeka lagi.(12)
c)Kuasa Sultan Perak dalam menguruskan soal Dewan Undangan Negeri yang beralih tangan kepada BN pada awal 2009.Isu yang paling sensasi dan memeningkan kepala ini telah keluar masok mahkamah dan mencabar kuasa Sultan dalam membuat keputusan diperingkat negeri saperti yang diperuntukan oleh Undang-undang Tuboh Negeri.Undang-undang Negeri dan Perlembagaan Persekutuan (Perkara 42-Kabinet) berganding bahu memberi kuasa kepada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong dan Sultan dalam hal ini.Ternyata selama ini bidangkuasa Sultan dalam isu negeri tidak pernah tercabar kerana kerajaan  negeri sentiasa sama dengan kerajaan pusat;sebarang perbezaan pendirian politik boleh diselesaikan dalam perundingan tanpa membawanya kemahkamah. Dengan itu pentadbiran Negara dan negeri dapat berjalan dengan licin. Ternyata tanjak dikepala mula bergoyang kerana kerisnya telah berkarat dan patah pula.(13)


Reaksi orang Melayu terhadap keadaan  ini ternyata agak pelbagai bentuknya:
1)Ada yang semakin  tidak percaya kepada UMNO/BN yang dilihat sebagai gagal menjadi suara orang Melayu.Mereka melihat  PAS serta PKR pula  sebagai alternatifnya,terutama oleh golongan muda atau generasi Y yang merupakan  produk DEB dan leberalisasi politik dan pendidikan yang berlaku sejak akhir kurun 20 dan awal kurun 21 ini.Mereka tidak terikat dengan pengalaman sejarah kekejaman Parti Komunis Malaya ataupun usaha untuk menuntut kemerdekaan.Kepada mereka itu cerita ibubapa mereka dan zamannya.Zaman mereka adalah zaman yang mempersoalkan banyak perkara lama yang dianggap tidak relevan kepada kehidupannya.Media Baru yang menjadi cara mereka mendapatkan maklumat tanpa sempadan itu,memisahkan mereka daripada sejarah,tradisi ,warisan dan nilai-nilai patriotism Melayu konventional.Mereka juga terpengaruh dengan konsep-konsep kesamarataan yang diajukan oleh pimpinan politik pembangkang yang berniat untuk mendapatkan kuasa pemerintahan.

2)Timbul perlbagai kumpulan Badan Bukan Kerajaan(BBK) atau Non Governmental Body(ngo) yang terus mempertahankan  ketuanan Melayu;mereka mengadakan  kongres dan perjumpaan yang membuat pelbagai resolusi dan diserahkan kepada kerajaan untuk tindakan.Mereka juga mengeluarkan  kenyataan akhbar dan perbincangan dengan kerajaan tentang pendirian mereka.Gapena,Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Kongres Pemuafakatan Melayu,Gagasan Melayu Perak (GMP) dan beberapa yang lain. Mereka menjadi jurucakap orang Melayu yang merasa tertekan dengan cabaran-cabaran prinsip-prinsip Perlembagaan yang berkaitan dengan orang Melayu itu.

3)Kesedaran orang ramai terhadap isu ketuanan Melayu ini juga ternyata dapat dibangkitkan;ada yang menentang dan ada juga yang setuju dengan cabaran itu daripada golongan muda yang mendokong dasar liberalisasi .Bagaimananpun,apabila ada pihak yang mendokong instutsi raja dan perkara-perkara lain mengenai orang Melayu dalam Perlembagaan,maka adalah tidak mudah hal ketuanan Melayu hendak dibuang dalam Perlembagaan Negara. Ini bermakna terdapat perpecahan dalam pemikiran masyarakat yang kemudian dikaitkan dengan fahaman politik masing-masing.


Pendirian Raja-Raja Malaysia Terhadap cabaran ini:
Pendirian Raja-raja dalam soal kedudukan mereka dan semua isu orang Melayu telah diluahkan secara terbuka samada sebagai ingatan,amaran,seruan dan mandat politik kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.Pendirian Baginda semua adalah adalah satu penglibatan penting dan natijah yang baik yang terbit daripada kemelut ini.Bagi kali pertamanya selepas merdeka dan penubuhan Malaysia,Raja-raja Malaysia telah memainkan peranan perundangan dan pentadbiran yang penting dalam konteks kedudukan Baginda semua sebagai Raja Berperlembagaan Malaysia.Mereka secara terbuka telah bertitah melalui ucapan ataupun  ucap utama demi menyatakan pendirian dan harapan Baginda semua terhadap rakyatnya semua tanpa mengira kaum.

Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Shah, turut merasa bimbang dengan ketidak perihatinan sebilangan masyarakat dengan prinsip-prinsip Perlembagaan yang telah termaktub sejak Negara mencapai kemerdekaan.Perlembagaan Negara juga telah mengiktiraf Institusi Raja sebagai teras pemerintahan Negara dan kini Raja-raja adalah Raja-Raja Malaysia selepas 1963.Baginda sebagai salah seorang pemerintah negeri yang menganggotai Malaysia,mempunyai hak untuk menegor tindakan tidak berperlembagaan sebahagian parti politik dan rakyat Malaysia.Baginda menyeru supaya kontrak sosial yang telah termaktub selama ini dihormati dan dipegang oleh rakyat Malaysia. Persetujuan itu dianggap faktor kestabilan politik Negara. Kata Baginda:

”Jika perkara-perkara ini dijadikan bahan perbincangan umum dan berpolitik,ia akan membawa bencana kepada masyarakat dan negara.Kontak sosial tidak wajar dipertikaikan,apatah lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah asas pembentukan Negara ini yang menjadikan rakyat pelbagai kaum hidup aman dan damai.”(14)

Ingatan Baginda ini dibuat kerana adanya kecenderongan  bersuara dengan menggunakan konsep hak samarata tanpa mempedulikan prinsip-prinsip Perlembagaan Negara dan sejarah yang telah berlaku dalam Negara ini.Sesetengah golongan pula menggunakan politik sebagai satu cara membangkitkan persepsi negatif terhadap kontrak sosial dan ketuanan Raja-raja dalam pemerintahan Negara sehingga menyinggong perasaan rakyat Melayu dan Raja-Raja sendiri.Keadaan ini boleh menimbulkan ketegangan kaum dan memusnahkan apa yang telah dicapai selama ini.Baginda menyarankan juga sejarah mencapai kemerdekaan Negara juga mesti diingati supaya segala pencapaian lepas dapat dihargai dan dihormati seperti apa yang terdapat dalam Perlembagaan Negara.Peranan pemimpin-pemimpin dahulu juga patut dikenang kerana mereka telah berjasa meletakkan asas kenegaraan yang kukuh yang menjadi teras kestabilan Negara.Kata Baginda:

“Mereka duduk semeja berbincang bagi menuntut kemerdekaan.Perbincangan ini mewujudkan peruntukan perlembagaan yang menjamin kedudukan Raja-raja Melayu,agama Islam dan hak istemewa orang Melayu serta bumiputra Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain yang dikenali sebagai kontrak sosial.Kontrak sosial ini merupakan pengorbanan besar orang Melayu kepada kaum-kaum lain.Oleh itu,tidak wajar kontrak sosial ini dipertikai,disemak semula atau diubah kerana ia adalah asas pembentukan Malaysia”(15)

Kata-kata Duli Yang Teramat Mulia(DYTM) Raja Muda Perak,Raja Dr Nazrin Shah,juga cukup penting untuk menjadi pegangan masyarakat Malaysia.Antaranya Baginda telah menyentuh tentang peranan Raja sebagai tonggak kstabilan,sumber keadilan,teras perpaduan dan payong penyatuan. Ini  dicatitkan dengan lebih jelas dalam titah ucapannya yang betajuk Intan Premeir Talk Institusi Beraja pada 21 Julai 2008, di Institut Tadbiran Awam Negara(Intan) ,Kuala Lumpur.Antara lain ,Raja Nazrin mengatakan:

“Adalah hakikat yang tidak dapat disanggah bahawa bumi ini pada asalnya adalah bumi Melayu,yang telah membina satu tamadun-membina satu budaya bangsa yang dikenali sebagai Melayu.Namun reality juga tidak membolehkan bumi ini secara ekslusif milik bangsa Melayu.Komposisi rakyat Malaysia kini terdiri daripada warga pelbagai kaum-pelbagai agama.Raja bertanggungjawab member naungan kepada setiap warganegara yang memperlihatkan kesetiaan kepada Negara serta bersedia menerima hidup secara rukun dalam dimensi sosiopolitik berteruskan Melayu.”(16)

Dan,
“Secara tersirat pengekalan institusi raja  dinegara ini adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu ditanah dan air warisan bangsa.Perlembagaan Merdeka digubal berlatarbelakangkan senario kebangkitan semangat nasionalisme Melayu.Dalam luapan semangat menuntut Merdeka,orang Melayu merasa tergugat akan kedudukan mereka dalam entiti politik disebuah Negara yang komposisi warganya bukan sahaja terdiri daripada pelbagai kaum dan pelbagai agama,juga mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.Orang Melayu bimbang akan pencapaian taraf sosio-ekonomi mereka yang jauh ketinggalan secara perbandingan dengan kaum lain.Bahawa orang Melayu memerlukan satu jaminan yang meyakinkan;bahawa kedudukan mereka sebagai rakyat pribumi tidak terancam dan tergugat.Faktor-faktor agama,bangsa,bahasa dan budaya disamping taraf pencapaian sosioekonomi merupakan kompenan penting yang mempengaruhi jiwa dan membimbangkan pemikiran bangsa ketika itu”.(17)

Dan
“Kebimbangan orang Melayu dijawab melalui jaminan perundangan dengan memaktubkan didalam Perlembagaan Merdeka,klusa-klausa tertentu menyentuh agama Islam,Institusi Raja-raja Melayu,adat istiadat Melayu,Bahasa Melayu,Taktif Bangsa Melayu diperkemas,diikat dengan adat,disimpul dengan bahasa,disalut dengan agama. Perlembagaan Merdeka telah memperkukuhkan kedaulatan Raja-raja dengan memaktubkan secara tersurat klausa-klausa berhubung Raja.Disamping mengekalkan tradisi kesultanan diperingkat negeri,satu lapisan baru diwujudkan diperengkat Persekutuan bertaraf Ketua Negara dengan gelaran Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong;sekali gus mengangkat martabat institusi Raja kealtar yang lebih tinggi”.(18)

Dan,
“Keyakinan Institusi Raja berperanan sebagai lambang penyatuan dalam kepelbagaian”.(Ibid).bangsa diperkukuhkan  apabila Institusi Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong hanya boleh dipilih dari kalangan Raja-raja Melayu.Institusi Raja diberikan peranan penting sebagai pelengkap untuk memenohi aspirsasi  bangsa-untuk menangani kegelisahan rakyat.Institusi Raja berupaya  memberikan satu keyakinan psikologi melindongi kepentingan bangsa dan melakukan keadilan kepada warga seluruhnya.’”(19)

Kata-kata Tengku Mahkota Kelantan,Tengku Muhammad Faris Petra pada 12 April 2008,telah memulakan perhatian Raja-raja Melayu terhadap kelangsungan ketuanan dan perpaduan orang Melayu dalam perlembagaan dan politik Malaysia.Katanya:

“Peruntukan berkaitan hak dan ketuanan Melayu mesti dipertahankan iaitu agama Islam sebagai agama rasmi Negara,bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Raja-raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan dinegeri-negeri yang menjadi sebahagian daripada Malaysia.Perkara-perkara itu bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi juga dijadikan tiang seri atau tonggak kepada kelangsungan ketuanan Melayu “(20)
Dan
“Paling menyedihkan ,ada pula yang taksub hendakkan kuasa sehingga bertindak membujur lalu melintang patah asalkan dapat kuasa…Sesungguhnya beta mempunyai impian dan harapan untuk melihat satu keadaan dimana perbalahan dan perbezaan pendapat diantara semua pemimpin Islam itu dapat dirungkai menerusi satu muzakarah yang diadakan secara tertutup,berhemah dan bijaksana”.(21)


Kesimpulan:
Kenyataan-kenyataan Raja-raja Melayu menegaskan pendirian Raja-raja Melayu terhadap cabaran dan polemik politik Negara yang berlaku hasil daripada keputuasan Pilihanraya ke-12 lalu.Keinginan yang amat tinggi oleh  parti-parti pembangkang untuk berkuasa ,telah memberi kekuatan untuk mencabar perjanjian politik yang telah dijadikan perlembagaan  Negara dan negeri.Jika dibandingkan dengan Peristiwa 13 Mei 1969,yang memperlihatkan juga kekuatan pembangkang di Selangor, Perak dan P.Pinang sehingga memberi kekuatan untuk mencabar kerajaan P.Perikatan di Selangor,senario Pilihanraya Ke 12,2008 ini adalah lebih besar lagi.Pada 1969,yang menawan P.Pinang adalah  Parti Gerakan,pimpinan Dr.Lim Chong Eu,bekas pemimpin MCA,tetapi pada 2008,yang menawan P.Pinang adalah DAP dan yang mempunyai kerusi terbanyak di Pulau Pinang sehingga boleh menguasai negeri itu dan membentuk kerajaan bersama PKR dan PAS di Perak. Pada keseluruhannya DAP memenangi 73 DUN bagi seluruh Malaysia.Kemenangan PKR sebanyak 40 kerusi juga cukup tinggi;gabongan kedua-duanya memang menggegarkan politik Negara sedangkan pada tahun 1969 gabungan itu tidak berlaku .Inilah tenaga yang telah mencuba mencabar apa yang telah termaktub dan berlangsung sebelum kedatangan Portugis, British dan Jepun,sebelum merdeka dan sebelum Malaysia menjadi negeri makmur saperti hari ini.

Dengan itu percubaan untuk menggoncang tanjak dikepala secara politik dapat dipertahankan oleh Raja-raja.Ini bermakna pertahanan kepentingan Melayu dalam perlembagaan Negara akan dapat bertahan selagi Raja-raja memainkan peranan yang signifikan sebagai ketua pemerintah negeri dan Negara;bagaimanapun pemilihan kerajaan oleh rakyat boleh menentukan kerajaan yang memerintah;maka pertahanan kontrak sosial adalah terletak kepada parti-parti yang mendokong perjuangan itu.Apakah pendirian BN dan golongan lama Melayu akan dapat mempengaruhi pengundi-pengundi muda yang semakin besar jumlahnya? Atau adalah perpaduan Melayu itu sendiri menjadi jawapan kepada pertahanan orang Melayu itu sendiri?Atau Raja-Raja Malaysia yang berbaka dan bertamadun Melayu itu akan menjadi galang ganti kepada Perlembagaan Negara dan Negeri--negeri Malaysia. 


Nota Hujung:

1)Terlalu banyak buku mengkaji dan menceritakan hal ini,terutama buku-buku kajian yang ditulis oleh sarjana barat dan timur pada tahun 1960an dan1970an.Antaranya,L.A.Andaya,1975.The Kingdom of Johor 1641-1728, Economic and Political Development, K.Lumpur: OUP.,R.Braddle,1931. The Legal Status of Malay States. Singapore: Malaya Publishing House, Buyong Adil,1974. Sejarah Pahang, K.Lumpur: DBP., Khasnor Johan, 1984.The Emergence of Administrative Elite, K.Lumpur: OUP.,Khoo Kay Kim, 1974,`The Malay Society 1874-1920’,JSEAH,Vol.2, September dan lain-lain lagi.

2.Eksploitasi ekonomi British dan kemasukan orang luar dengan pembukaan negeri-negeri Melayu itu juga telah banyak dibuat kajian.Ia telah menjadi pengetahuan umum dan fakta sejarah yang jelas.Antara buku yang telah mengkaji aspek sejarah ekonomi ini ialah W.W.Blythe,1968.The Impact of Chinese Secret Societies in Malaya.London:OUP.,J.C.Jackson,1965.Planters and Speculators: Chinese and European Agricultural Enterprise in Malaya 1766-1921, K.Lumpur: OUP.,Li Dun Jen.British Malaya:An Economic Analysis, K.Lumpur:Ihsan,Lim Teck Ghee,1977. Peasant and Their Agricultural Economy in Colonial Malaya,1974-1941, K.Lumpu:OUP. dan banyak lagi.

(3)Hal ini juga telah banyak dikaji dan dihasilkan sebagai rencana dan buku.Antaranya Cheah Boon Kheng,1981.Red Star Over Malaya,Singapore:SUP,Ghazali bin Mahyudin,1978.Johor Semasa Pendudukan Jepun, Bangi:UKM Press.,J.Funston,1980.Malay Politics in Malaysia,A Study of UMNO and PAS,Petaling Jaya:Heinemann Educational Books(Asia)Ltd.,Firdaus Abdullah 1985.Radical Malay Politics,Its Origins and Early Development,Petaling Jaya:Pelanduk Publications,Ramlah Adam 1992,Dato’ Onn Jaa’far Pengasas Kemerdekaan,K.Lumpur:DBP,Ramlah Adam,1996.Dr.Burhanuddin Satu Kemelut Politik, K.Lumpur: DBP.,Ramlah Adam, Biografi Politik Ahmad Boestamam, K.Lumpur: DBP.
(4)Ibrahim Mahmod 1981.Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu, K.Lumpur:Pustaka Antara., Hairi Abdullah 1974/1975.`Kebangkitan dan Gerakan Tentera Selendang Merah’, JEBAT,No.3, Bangi:UKM Press, Cheah Boon Kheng 1981. Red Star Over Malaya, Singapore: SUP.

(5)Lihat  R.J.Stockwell,1979.British Policy and Malay Politics During the Malayan Union Exsperiment 1942-1948, Monograph No.8, JMBRAS, K.Lumpur, Ramlah Adam 2005, Biografi Politik Tunku Abdul Rahman Putera AlHaj, K.Lumpur: DBP,Mohamed Nordin Sopiee, 1976. From Malayan Union to Singapore Separation, Political Unification in the Malaysia Region 1945-65, K.Lumpur:UMP

(6)Ramlah Adam 1992.Dato’ Onn Jaa’far Pengasas Kemerdekaan, K.Lumpur:DBP,R.K.Vasil1974.Politics in Plural Society, K.Lumpur: OUP.

(7)Jabatan Warisan Negara,(tidak bertarikh), Merdeka Obor Satu Perjuangan, K.Lumpur: Jabatan Warisan Negara,  Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

(8)G.P.Means 1976,Malaysian Politics,Singapore: Hodder & Stoughton, Tunku Abdul Rahman 1984.Malaysia: The Roads To Independence, Petaling Jaya: Pelanduk Publications, Aishah Ghani 1992. Memoir Seorang Pejuang, K.Lumpur:DBP.

(9)Ramlah Adam 2006.Ahmad Boestamam Satu Biografi Politik, K.Lumpur: DBP,R.K.Vasil 1965. `The 1964 General Election in Malaya’, International Studies, Vol VII,No.1,July.

(10)Ini memang menjadi satu pengetahuan umum apabila membaca akhbar-akbar pembangkang yang menunjukkan minat yang sangat jelas untuk mendapatkan pentadbiran Negara atau untuk menawan Putrajaya dalam Pilahanraya Umum ke 13.

(11) Lihat Tunku Abdul Rahman 1969.Tragedi !3 Mei:Sebelum dan Selepas,K.Lumpur.

(12)Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah,Intan Primier Talk Institusi Raja ,Titah di Institut Tadbiran Awam Negara(INTAN),Bukit Kiara,K.Lumpur,pada 21 Julai 2008,ms 27.

(13)Ibid,ms 25.

(14)Utusan Malaysia,18 Ogos,2009(?).

(15)Ibid.

(16)Raja Nazrin Shah ibni Sultan Azlan  Muhibbudin Shah,”Institusi Raja”,Intan Premier Talk,Titah di Institute Tadbiran Awam Negar(INTAN),Bukit Kiara,K.Lumpur,pada 21 Julai 2008,ms 22.

(17)Ibid,ms. 20.

(18)Ibid,ms21.

(19)Ibid,ms20

(20)Utusan Malaysia,13 April 2008.

(21)Ibid.

Kertas dibentang dalam seminar kecil di Kampus UITM Pahang pada 28 September 2010.


No comments:

Post a Comment